Razaili akan meneruskan agenda pembangunan Beting Maro

PILIHANRAYA SARAWAK

PUSA: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro, Razaili Gapor akan meneruskan agenda pembangunan fizikal dan ekonomi rakyat jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) nanti.

Beliau ketika melalui kenyataan bersempena dengan siri kempen sekitar kawasan Pekan Pusa dan berdekatan semalam memberitahu isu yang banyak dibangkitkan pada masa kini adalah pembangunan fizikal.

“Pertama adalah mengenai soal bangunan pusat pentadbiran baharu. Ada kelewatan tetapi Insya-Allah akan kita laksana dengan peruntukan RM8.1 juta yang diluluskan oleh Kerajaan GPS,” kata Razaili.

Beliau turut memberitahu banyak lagi projek yang sudah dirancang dan diluluskan di kawasan DUN Betong Maro sebelum ini seperti Projek Perumahan Spektra Permata, Jambatan Batang Saribas Satu dan Dua serta banyak lagi.

“Selain itu kita juga turut melaksana projek secara menyeluruh di setiap kampung dan rumah panjang dalam kawasan DUN Beting Maro di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

“Justeru, ikrar saya apabila diberikan mandat oleh rakyat DUN Beting Maro pada 18 Disember nanti adalah meneruskan agenda pembangunan fizikal dan ekonomi untuk mereka,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu setiap isu yang dibangkitkan oleh rakyat di kawasan DUN Beting Maro akan dilihat dengan sebaik mungkin bagi tujuan penyelesaian.

“Diri saya adalah mewakili semua. Tiada isu saya hanya untuk orang Beladin, sebaliknya saya mewakili semua.

“Jaminan saya ialah Daerah Pusa yang terletak di Pekan Pusa akan kekal di situ. Tiada isu saya hendak mengangkut semuanya ke sebelah laut kerana saya tahu rangkaian perhubungan jalan raya dan jambatan bakal mempertingkat potensi Pekan Pusa sebagai pusat pentadbiran utama nanti,” kata beliau.

Razaili turut menyeru warga DUN Beting Beting Maro untuk turun mengundi pada hari pemilihan PRN-12 bagi menghargai komitmen Kerajaan GPS yang telah membangunkan Sarawak termasuk Beting Maro.

“Sokongan kita kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga adalah perlu agar misi untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi tercapai pada masa akan datang,” tambahnya lagi.

Beliau optimis, rakyat di Beting Maro akan berdiri teguh bersama-sama GPS menjelang PRN-12 ini.