Sikap pilih kasih dan memberikan pembangunan di sesuatu kawasan tertentu bukanlah cara saya

PILIHANRAYA SARAWAK

KABONG: Pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) terbukti tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih melaksanakan rancangan pembangunan walaupun kawasan yang dibangunkan terletak jauh di pedalaman.

Calon GPS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata matlamat utama GPS adalah memastikan seluruh masyarakat negeri ini menikmati pembangunan yang dilaksanakan.

Beliau berkata semua kawasan terutamanya di DUN Kabong, selama lebih lima tahun beliau menjadi wakil rakyat di kawasan itu telah dan akan menerima projek pembangunan walaupun ia dilakukan secara berfasa.

“Sikap pilih kasih dan hanya memberikan pembangunan di sesuatu kawasan tertentu bukanlah cara saya selama ini.

“Setiap kampung, rumah panjang atau sesuatu kawasan di DUN Kabong amnya, layak menerima projek pembangunan tanpa mengira sokongan politik mereka.

“Walapun projek pembangunan itu tidak dapat dilaksanakan serentak dan dilakukan berfasa, namun saya melakukan yang terbaik agar semua rakyat di kawasan Kabong mendapat manfaat,” katanya ketika berkunjung ke beberapa rumah panjang di sekitar kawasan Roban semalam.

Dalam pada itu, Chee Kadir menjelaskan Zon Tengah Kabong akan terus dibangunkan, sekaligus menangkis kenyataan sesetengah pengamal politik yang mendakwa Kerajaan Sarawak dibawah pimpinan GPS tidak menghiraukan kawasan Zon Tengah adalah tidak benar. 

Mengulas lanjut, Chee Kadir begitu kesal terhadap sesetengah pengamal politik melemparkan tuduhan kepada beliau yang mengamalkan sikap pilih kasih dengan tidak memberikan pembangunan sama-rata di konstituensi itu.

“Harus difahami, sesuatu projek pembangunan itu dilakukan secara berperingkat-peringkat, kita tidak dapat melakukannya secara menyeluruh dan ia memerlukan jangka masa panjang. 

“Begitu juga peruntukan sesuatu pembangunan itu memerlukan kelulusan daripada Kerajaan Sarawak. Namun saya akan terus komited untuk melakukan yang terbaik agar semua rakyat di kawasan DUN Kabong mendapat manfaat daripada projek pembangunan di kawasan ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, Chee Kadir menyeru rakyat di DUN Kabong agar terus memberikan kerjasama kepadanya untuk melancarkan pelaksanaan pembangunan di kawasan itu.

“Saya menyeru kepada masyarakat di DUN Kabong agar tidak membeza-bezakan pembangunan di sesuatu kawasan itu. Sekali lagi saya ingatkan tiada istilah pilih kasih dalam pemberian pembangunan di kawasan ini. Itu bukan cara saya dan sebaliknya saya tetap melaksana pelbagai usaha demi menjaga kebajikan rakyat supaya tidak terpinggir daripada arus pembangunan,” tegasnya.

Chee Kadir berkata usaha menyeimbangkan pembangunan luar bandar dengan bandar tetap diteruskan oleh Kerajaan GPS demi rakyat Sarawak dan ianya bukannya gimik politik semata-mata.

“Apa yang pihak kerajaan dibawah kepimpinan Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg lakukan adalah demi rakyat di semua pelusuk Negeri Sarawak dan bukannya semata-mata polemik politik seperti dakwaan sesetengah pihak yang lebih suka berpolitik,” tambah beliau lagi.