Bekerja satu pasukan untuk kemenangan GPS

PILIHANRAYA SARAWAK

SARATOK: Kerjasama sebagai satu pasukan dalam ‘team’ Gabungan Parti Sarawak (GPS) ketika ini dilihat amat memberangsangkan.

Calon GPS di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka, Haji Mohamad Duri berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak kali ini yang sangat berbeza kerana situasi semasa pandemik memerlukan kerjasama utuh pasukan.

“Bagaimanapun saya menyeru jentera parti terutamanya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) agar tidak berasa terlalu selesa kerana apa sahaja boleh berlaku pada masa ini.

“Kerjasama ini jelas, tidak kira dari PBB, atau wakil parti-parti lain dibawah naungan GPS. Kita bergerak sebagai satu pasukan,” katanya semasa melakukan kunjungan ke Ranting PBB Kampung Masjid Hulu Saratok hari ini.

Tambah Haji Mohamad lagi, pada PRN-12 kali ini rakyat harus memberi mandat sekali lagi kepada GPS untuk meneruskan pelaksanaan dasar dan agenda pembangunan di Sarawak kerana GPS mempunyai hala tuju yang jelas dan tersusun dalam membawa Sarawak serta rakyat ke arah lebih cemerlang.

Katanya sesuai dengan matlamat Sarawak maju menjelang tahun 2030 beliau berharap rakyat Sarawak khususnya pengundi di kawasan DUN N.38 Kalaka dapat menilai dasar dan agenda yang dibawa oleh GPS melalui rekod kerja yang telah ditunjukkan selama ini lebih-lebih lagi banyak projek berimpak tinggi sedang giat dilaksanakan.

Jelasnya, beliau berharap pilihan raya kali ini GPS memperolehi kemenangan besar dari rakyat sebagai tanda sokongan padu terhadap GPS untuk terus membawa pembangunan kepada rakyat di samping sebagai bukti hanya GPS yang mampu membantu rakyat kerana mempunyai hala tuju parti yang tersusun dan jelas.