Dayang Noorazah ikrar berkhidmat secara adil jika diberi mandat

PILIHANRAYA SARAWAK

LINGGA: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi DUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berikrar akan menunaikan tanggungjawabnya dan berkhidmat secara adil dan saksama kepada semua pengundi jika mendapat sokongan dan menang dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) pada Sabtu ini.

Beliau membuat lafaz ikrar itu di hadapan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengarah Operasi GPS, Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Karim dan bekas ADUN Lingga, Datuk Semoi Peri dan 32 tuai rumah di kawasan DUN Lingga.

Dayang Noorazah,33, seorang graduan dalam jurusan akauntan membuat lafaz ikrar itu pada majlis perhimpunan ‘Randau Pertanian’ di Rh. Mathew J. Pupun, Gran Stumbin di sini.

Beliau yang diperkenalkan kepada pengundi pada majlis itu diminta oleh Uggah untuk membuat lafaz ikrar itu.

Berdialek dalam Bahasa Iban dan Inggeris, Dayang Noorazah berkata, beliau berjanji akan berkhidmat dengan adil dan bersungguh-sungguh kepada semua penduduk rumah panjang dan kampung di kawasan terbabit jika dipilih menjadi wakil rakyat mereka.

Dayang Noorazah berkata, beliau akan lebih kerap turun padang untuk menyantuni rakyat.

Uggah dalam pada itu berkata, beliau sendiri dan Rohani akan memantau pergerakan Dayang Noorazah bagi memastikannya menunai ikrar serta janji yang dilafazkan.

Dayang Noorazah, seorang daripada lapan muka baharu dan calon muda diperkenalkan oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan di antara 24 muka baharu berusia antara 30-an dan 40-an mewakili GPS.

Uggah berkata, sebagai orang muda, ini adalah peluang terbaik bagi Noorazah untuk belajar menjadi seorang
pemimpin politik yang baik.

Uggah turut menegaskan, adalah penting bagi semua wakil rakyat GPS untuk turun padang di kawasan masing-masing untuk mencurahkan khidmat secara adil.

“Hakikatnya sesetengah kawasan semasa berada di bawah Barisan Nasional (BN) masih kekurangan infrastruktur dan kemudahan bukan kesalahan BN. Ia disebabkan oleh wakil rakyatnya kerana gagal untuk memberi khidmat dengan baik.

“Akibatnya, rakyat yang menerima kesannya. Kita tidak mahu perkara itu berterusan berlaku di bawah pimpinan GPS,” kata Uggah.

Pada PRN kali ini, Uggah berkata, GPS mempunyai matlamat yang jelas untuk menang dan akan membentuk kerajaan semula.

“GPS yang dipimpin oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mempunyai hala tuju yang jelas mengenai apa yang hendak kerajaan laksanakan untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun akan datang jika menang.

“Parti-parti lain yang bertanding… tiada satu daripadanya memiliki rekod cemerlang seperti apa yang Abang Johari laksanakan.

“GPS lebih menyerlah dari segi pencapaian dan memberi perkhidmatan kepada rakyat. Sokong GPS untuk memajukan Sarawak,” kata Uggah.