PRN12: 1,213,769 tunai tanggungjawab Sabtu ini

PILIHANRAYA SARAWAK

SERAMAI 1,213,769 pengundi biasa daripada 1,252,014 pengundi berdaftar layak mengundi untuk Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) pada 18 Disember ini.

Manakala, seramai 20,360 orang adalah pengundi awal dan 17,885 orang telah mengundi secara pos.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak berkata, bagi pengundi yang telah mengetahui maklumat pengundian, disaran terus ke saluran mengundi yang ditetapkan.

“Pengundi juga disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi melalui saluran-saluran seperti portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018,” katanya dalam kenyataan akhbar.

Menurutnya, semasa membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat seperti pusat dan saluran mengundi serta nombor bilangan pemilih.

“SPR juga melalui aplikasi MySPR Semak, meletakkan maklumat masa keluar mengundi dan dinasihat supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang atau waktu yang telah diwartakan di pusat mengundi masing-masing,” ujarnya.

Bagaimanapun tegasnya, pengundi dinasihat tidak keluar
mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan dan garis panduan khas pencegahan Covid-19 pada hari mengundi nanti.