Calon GPS Kabong berkempen gunakan hebahan suara melalui pacuan empat roda

PILIHANRAYA SARAWAK

KABONG: Salah satu medium utama yang digunakan oleh calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Mohd Chee Kadir pada kali ini ialah menggunakan hebahan suara melalui pacuan empat roda.

Platform berkenaan dimanfaatkan oleh ahli-ahli di dalam ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kabong bagi membantu calon dan memberi maklumat kepada pengundi.

Platform berkenaan dilihat mula digunakan sejak hari ketiga kempen bagi menyeru penduduk di DUN Kabong dan sekitar agar menyokong GPS bagi meneruskan pembangunan pada masa akan datang.

Chee Kadir berkata menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) esok, beliau menyeru pengundi membuat pilihan tepat dalam memilih wakil rakyat yang terbaik.

Katanya hanya pemimpin GPS sahaja yang dapat memastikan hak Sarawak terus diperjuangkan, selaras dengan apa yang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau juga berjanji akan meneruskan agenda pembangunan di DUN Kabong serta membela kebajikan rakyat untuk membina asas-asas yang kukuh untuk masa depan generasi muda di kawasan itu.

“Pertarungan empat penjuru di DUN Kabong kali ini membuktikan sistem demokrasi memberi peluang kepada anda semua untuk menentukan pemimpin anda. Justeru laksanakan tanggungjawab anda di peti undi kelak,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas pilihan raya, anggota keselamatan serta jentera parti yang bertungkus lumus menjalankan tugas sepanjang tempoh kempen serta pematuhan norma baharu.

Pada PRN-12 kali ini, Chee Kadir akan menghadapi tentangan dari tiga calon iaitu daripada Parti Amanah Negata (AMANAH), Hud Andri Zulkarnaen, Parti Bumi Kenyalang (PBK), Mohd Asri Kassim dan Wan Mohd. Madehi Wan Ali dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Pada PRN-11 2016 lalu, Chee Kadir menang dengan majoriti lebih 3,585 undi menewaskan calon daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Jini Sahini.