Chee Kadir gembira atas kepercayaan rakyat di DUN Kabong

PILIHANRAYA SARAWAK

KABONG: Mohd Chee Kadir menzahirkan perasaan gembira atas kepercayaan rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong sehingga berjaya mempertahankan kerusi berkenaan.

Beliau yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang dengan undi sebanyak 4,789 undi menewaskan pencabar Wan Mohamad Madehi Wan Ali dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) 2,026 undi, Mohd Asri Kasim dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) dengan 208 undi dan Hud Andri Zulkarnain dari Parti Amanah Negara (AMANAH), 91 undi.

“Terima kasih kepada semua pengundi atas sokongan diberikan, sekali gus memberi mandat sekali lagi kepada saya untuk menjadi wakil rakyat bagi kawasan DUN Kabong.

“Penghargaan dan terima kasih juga kepada semua jentera parti yang bekerja bertungkus lumus dan bekerja keras, walaupun didalam kekangan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” kata Chee Kadir.

Beliau berkata, kemenangan ini juga adalah amanah rakyat dan harus dipikul dengan penuh tanggung jawab oleh beliau dalam memastikan kesinambungan pembangunan bagi DUN Kabong selepas ini.

Beliau merayu agar semua ahli parti dan rakyat di konstituensi DUN Kabong bersama-sama membantu untuk memastikan kesinambungan pem­bangunan pada masa akan datang.