Terima kasih pengundi DUN Kalaka!

PILIHANRAYA SARAWAK

SARATOK: Haji Mohamad Duri menyifatkan kemenangannya sebagai kejayaan bagi seluruh rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.

Kejayaan itu katanya, merupakan sebahagian terjemahan warga Kalaka yang mahu kesinambungan pembangunan di DUN Kalaka diteruskan.

Menurutnya, melalui kemenangan berkenaan bermulalah era baharu perjuangannya membela nasib rakyat di kawasan berkenaan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi dan seluruh rakyat kerana memberi mandat kepada saya untuk menjadi wakil rakyat di DUN Kalaka kali ini.

“Begitu juga dengan seluruh jentera parti yang bertungkus lumus, bekerja keras sebelum dan sepanjang tempoh berkempen,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mohamad turut berterima kasih kepada bekas wakil rakyat DUN Kalaka, Datuk Abdul Wahab Aziz kerana telah memberikan peluang kepada beliau untuk menyambung kesinambungan pembangunan bagi konstituensi itu.

Dalam pada itu, kerusi DUN Kalaka kekal menjadi milik GPS setelah berjaya memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) semalam.

Kemenangan tersebut diperolehi setelah calon muka baharu mereka, Mohamad Duri, 55, memperoleh sebanyak 3,893 undi dalam pertandingan tiga penjuru bagi merebut kerusi DUN tersebut.

Sementara itu, calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), John Antau Linggang memperoleh 1,025 undi sambil diikuti oleh calon daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK), Linang Chapum dengan 457 undi.

GPS menerusi keputusan tersebut memperoleh 2,868 undi majoriti dengan peratusan jumlah pemilih berdaftar turun mengundi adalah 68.8 peratus.