Terima Kasih pengundi DUN Beting Maro atas kemenangan ini

PILIHANRAYA SARAWAK

BELADIN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor menyifatkan kemenangannya sebagai bukti rakyat di kawasan itu amat yakin dengan keupayaan dan kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mentadbir Sarawak.
    
Malah katanya, sokongan yang diberikan oleh masyarakat di Beting Maro terhadap beliau sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterjemahkan pada kertas undi Sabtu lalu juga menandakan mereka memilih parti GPS untuk terus membawa pembangunan ke negeri ini.


    
“Ini jelas menandakan rakyat Sarawak begitu yakin dengan keupayaan dan kepimpinan Abang Jo dalam menjadikan Sarawak sebuah negeri maju pada tahun 2030 nanti.

“Selain itu, ia juga satu manifestasi kepercayaan rakyat kepada parti GPS untuk terus membawa kestabilan politik, pentadbiran yang baik dan pembangunan di setiap pelosok kawasan di negeri ini terlaksana,” katanya kepada pemberita semalam.

Sehubungan itu, Razaili amat berterima kasih kepada para pengundi yang telah sekali lagi memilihnya untuk menjadi wakil rakyat bagi kawasan DUN Beting Maro.

“Sudah pasti yang pertamanya, saya ingin meningkatkan dan memperhebatkan lagi pembangunan di kawasan DUN Beting Maro sambil menitikberatkan kepentingan pendidikan untuk golongan pelajar dan remaja.

“Pada masa sama, kita akan berusaha membangunkan sosio-ekonomi penduduk di kawasan ini agar mereka dapat menikmati kehidupan yang baik dengan pendapatan lebih tinggi berbanding sekarang,” ujarnya.

Beliau turut menyeru penduduk di kawasan DUN berkenaan untuk memberikan sokongan dan kerjasama kepadanya agar beliau dapat melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat di situ dengan baik.  

Razaili juga berharap mereka yang tidak menyokongnya untuk menilai prestasinya dalam tempoh lima tahun ini dan mengubah pendirian mereka dengan memberikan sokongan kepadanya di masa hadapan.

Beliau juga berikrar akan berlaku adil kepada semua penduduk tidak kira bangsa dan agama termasuk dari segi pengagihan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan projek-projek lain. 

Terdahulu, pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sabtu lalu, Razaili yang mewakili GPS menang dengan undi sebanyak 3,769 undi menewaskan pencabar Arif Paijo dari PAS dengan 2,058 undi, Abang Zulkifli Abang Engkeh dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) 765 undi, Saifudin Matsah (Bebas) 636 undi dan Jacky Chiew Su Chee dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) 74 undi.