Dayang Noorazah santuni pengundi dan berterima kasih

TEMPATAN

SIMANGGANG: Pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor telah mengadakan ‘walkabout’ di sekitar kampung di sini bagi menyatakan terima kasih kepada pengundi di situ kerana memberi mandat kepadanya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12).

Semasa walkabout tersebut, Dayang Noorazah berkata kemenangannya pada PRN12 adalah untuk semua warga DUN Lingga dan menyeru semua masyarakat agar sama-sama dengannya memajukan lagi daerah itu dalam tempoh lima tahun ini.

Ujarnya, PRN kali ini menampakkan perpaduan utuh pelbagai kaum di DUN Lingga yang memberikan sokongan padu kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Terima kasih kepada semua warga DUN Lingga yang telah memberi kepercayaan dan harapan untuk terus memilih GPS bagi memastikan DUN Lingga terus membangun,” katanya semasa melakukan lawatan di kawasan jeti Kampung Tengah hari ini.

Dayang Noorazah pada masa yang sama turut melahirkan penghargaan kepada seluruh jentera parti pelbagai peringkat yang membantu sepanjang tempoh kempen berlangsung.

“Kemenangan yang kita perolehi hari ini jelas menunjukkan bahawa GPS diterima oleh rakyat serta terus yakin kepada GPS.

“Saya tak ada nak banyak cakap cuma saya berjanji akan berusaha untuk berkhidmat kepada masyarakat di DUN Lingga ini,” ujarnya.

Turut sama ialah Pengerusi Persatuan Nelayan, Cikgu Ghazali dan AJK Persatuan Nelayan.