Bomba Betong bantu remaja tertusuk besi di tangan

TEMPATAN

BETONG: Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dipanggil untuk membantu seorang remaja yang tertusuk besi di tangan kirinya di Hospital Betong hari ini.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong PBK1 Henry Jugah berkata pihaknya menerima panggilan khidmat khas menyelamat itu daripada Unit Kecemasan Hospital Betong pada jam 11.30 pagi tadi

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Betong yang diketuai PBK II, Kassim Lunchat bersama PBK II, Bakas Lidam dan PB Joshua Lang Rimong tiba di lokasi jam 11.40 pagi.

“Setibanya di Unit Kecemasan Hospital Betong didapati terdapat seorang remaja berusia 18 tahun dengan keadaan pergelangan tangan kiri mangsa telah tertusuk serpihan besi.

“Tindakan awal yang dilakukan anggota Bomba adalah dengan memberi rawatan awal sebelum menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan besi berkenaan dari tangan mangsa,” katanya kepada pemberita hari ini.

Henry berkata, pihak bomba kemudian dapat memotong besi berkenaan menggunakan pemotong besi dalam masa setengah jam.

“Sejurus berjaya mengeluarkan batang besi panah ikan itu pada jam 12.10 tengah hari, pasukan perubatan kemudian memberikan rawatan lanjut kepada mangsa. Keadaan mangsa dilaporkan stabil,” ujarnya.