Budaya gotong-royong harus dipupuk seawal usia kanak-kanak- Dayang Noorazah

TEMPATAN

SIMANGGANG: Budaya bergotong-royong terutama membersihkan tanah perkuburan harus dipupuk seawal usia kanak-kanak agar ia berterusan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, ia juga bertepatan dengan usaha kerajaan dalam melahirkan anak muda serta belia yang mempunyai nilai dan semangat sukarelawan.

Beliau berkata, penglibatan belia dalam program tersebut bukan sahaja mampu memupukkan semangat kerjasama, menabur bakti untuk masyarakat dan menghidupkan budaya dan semangat kekitaan malah dapat menjauhkan mereka daripada gejala tidak sihat.

Jelasnya lagi, belia perlu terus proaktif dalam penganjuran aktiviti berbentuk kemasyarakatan, sosial dan kebajikan kerana dalam dunia tanpa sempadan ini belia harus mempunyai jati diri kuat menangkis segala anasir negatif.

“Penyertaan belia dalam program kemasyarakatan sangat terpuji kerana bukan sahaja memupuk sikap tolong-menolong tetapi dapat menabur bakti kepada masyarakat,” katanya ketika menyertai penduduk kampung dan belia bergotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam, Kampung Hulu di sini.

Bercakap berkaitan aktiviti gotong royong yang dilaksanakan hari ini ianya merupakan rutin 3 bulan sekali dimana sebelum ini hanya diadakan bagi peringkat jawatankuasa sahaja kerana perlu aku dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Islam Sarawak.

Turut hadir dalam aktiviti tersebut pagi tadi ialah Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sri Aman, Azmi Morshidi, Pengerusi Jawatankuasa Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu, Tuan Haji Kipli@Bolhi Jol, Pegawai Menguasa Belia dan Sukan Sri Aman, Awang Mazlan Awang Majit dan Pengerusi Lembaga Amanah Surau Hayatul Islam, Haji Abdul Rahman Muhyiddin serta penduduk kampung.