Stesen minyak Petros bakal dibina berhampiran simpang Saratok

TEMPATAN

SARATOK: Koperasi Peserta Felcra Kawasan Saratok Berhad mendapat kelulusan daripada Ketua Menteri bagi membina stesen minyak hidrogen bersepadu Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Haji Mohamad Duri berkata beliau diberitahu pembinaan Petros di tapak Wadira Food Court dekat Simpang Saratok itu diluluskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa kunjungan beliau pada tahun 2019.

“Oleh itu, saya akan membantu koperasi dalam merealisasikan pembinaan Petros di simpang Saratok, seperti yang telah diluluskan Ketua Menteri itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Peserta Felcra Kawasan Saratok Berhad Tahun 2021 di Dewan Dayak di sini.

Mohamad turut diberitahu Koperasi Peserta Felcra Kawasan Saratok mendapat pemilikan tanah di tapak Wadira Food Court di Simpang Saratok daripada Jabatan Tanah Dan Survei Sarawak (JTS) baru-baru ini.

“Dengan pemilikan itu, koperasi dapat melaksanakan pembangunan di tapak tanah tersebut seperti sekarang.

“Pengurusan koperasi hendaklah merangka perancangan pembangunan ke atas tapak Wadira Food Court, sama ada menaik taraf bangunan sedia ada atau membina bangunan kawasan rehat yang baharu,” katanya.

Turut hadir ialah Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Bahagian Sri Aman, Noor Azahar Abdul Kadir, Pengurus Pembangunan Peserta Felcra Berhad Sarawak, Hamzah Yak, Pengurus Kawasan Felcra Berhad Saratok, Khairil Anuar Mohammad dan Pengerusi, Koperasi Peserta Felcra Kawasan Saratok Berhad, Kanchil Andong.