32 regu bakal merebut Piala Ketua Armada Bersatu Sri Aman, 4-6 Februari nanti

SUKAN

ANGKATAN Bersatu Anak Muda (ARMADA) Sri Aman dengan kerjasama Kelab Belia Perdana Jalan Sabu Sri Aman (Beldana) akan menganjurkan Pertandingan Sepak Takraw bagi merebut Piala Ketua Armada Bersatu Sri Aman 2022 pada 4 hingga 6 Februari nanti.

Menurut Ketua ARMADA Negeri Sarawak, Alexander Frusis berkata penyertaan adalah tertutup kepada kelab-kelab, regu-regu sepak takraw di sekitar bahagian Sri Aman.

“Sejumlah 32 buah regu dari sekitar bahagian Sri Aman bakal berentap bagi merebut Piala Ketua Armada Bersatu Sri Aman 2022 yang bakal bermula pada 4 hingga 6 Februari nanti.

“Kejohanan yang dianjurkan ini bakal mendapat sambutan yang luar biasa daripada regu-regu yang bakal berentap, sekaligus kejohanan ini peluang untuk mencari bakat-bakat baharu dalam sukan sepak takraw ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Alexander berkata pertandingan yang julung kalinya dianjurkan ini menawarkan hadiah yang lumayan dengan sang juara membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000, piala serta medal, naib juara RM700, piala serta medal dan ketiga bersama pula mendapat RM250 serta medal.

Sementara itu, tiga anugerah akan diberikan kepada pemain terbaik iaitu tekong, apit kanan dan apit kiri turut akan menerima Piala Khas beserta wang tunai berjumlah RM100.

Tambahnya, adalah menjadi harapan dan sandaran penganjuran pada kali ini mendapat sambutan dan sokongan dan peminat sukan tradisional ini adalah dijemput untuk hadir bagi menyaksikan perlawanan yang bakal berlangsung di gelanggang Sepak Takraw Mini Stadium Sri Aman bermula 4 hingga 6 Februari nanti.

Alexander turut memaklumkan bahawa tarikh akhir bagi menghantar borang penyertaan pada 29 Januari 2022, jam 5 petang.

Untuk pertanyaan lanjut bolehlah menghubungi urusetia ditalian 010-9147035 (Frankle James) atau Jonathan Liok (013-4829788).