SADA adakan Lawatan Penanda Aras

TEMPATAN

SAMARAHAN: Jawatankuasa Pembangunan Sri Aman (SADA) baru-baru ini telah mengadakan Program Lawatan Penanda Aras ke Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA).

Kenyataan media semalam memberitahu objektif program lawatan selama sehari berkenaan adalah untuk menanda aras kaedah pengurusan dan tadbir urus yang digunakan oleh pihak IRSDA sebelum ini.

Jelas kenyataan itu lagi usaha menanda aras itu telah mencakupi aspek pengurusan, pelaksanaan dan pemantauan projek memandangkan kaedah atau model SADA adalah sama seperti IRSDA.

“Pegawai Tadbir Khas SADA, Abdul Rahman Sebli Senusi telah bertindak mengetuai delegasi pihaknya dengan lima tapak projek dalam kawasan IRSDA dilawati bersempena dengan program penanda aras berkenaan,” kata kenyataan itu.

Dua daripada lima projek berkenaan katanya, adalah cadangan membina benteng dan Taman Tebingan Sungai berdekatan tapak penganjuran acara Regatta Samarahan serta Pusat Penjaja bertempat di Kampung Tambirat, Asajaya.

Manakala itu dua lagi projek yang dilawati katanya, adalah cadangan menaik taraf Jalan Sebandi Ulu/Matang dan membina benteng laut serta sistem perparitan di Skim Perparitan Blok II Asajaya dalam Bahagian Samarahan.

“Satu lagi projek yang dilawati pula adalah cadangan membina benteng laut dan sistem perparitan di Skim Perparitan Sebangan Bajong bagi Blok A, D, E dan F dalam Bahagian Samarahan.

“Keseluruhan lawatan berjalan lancar. Justeru diharap agar program akan dapat menambah penanda aras SADA dalam melaksana pelbagai projek pembangunan di Bahagian Sri Aman kelak,” katanya.