500 pelajar sekitar Sri Aman gunting rambut percuma

TEMPATAN

SEKITAR 500 pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah di bahagian ini tidak melepaskan peluang hadir pada Program Back To School: Gunting Rambut Percuma yang telah diadakan di Mini Stadium Sri Aman, hari ini.

Program yang julung kalinya dianjurkan oleh Pejabat Rasmi Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Sri Aman ini telah bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang sambil melibatkan lima tukang gunting profesional bagi tujuan berkenaan.

Ketua ARMADA Sri Aman, Alexander Frusis menjelaskan sambutan program berkenaan amat memberangsangkan kerana ramai pelajar sekolah terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah yang hadir bersama ibu-bapa mereka.

Menurutnya, inisiatif ini dilakukan demi meringankan beban ibu bapa khususnya golongan berpendapatan rendah menjelang pembukaan sesi baharu persekolahan yang bermula esok.

“Gunting rambut adalah perkara wajib kepada setiap pelajar lelaki sebelum memulakan sesi persekolahan.

“Bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak bersekolah mereka terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk menggunting rambut, sekarang upah gunting rambut bagi kanak-kanak antara RM7 hingga RM10 seorang.

“Tapi melalui program ini mereka diberikan perkhidmatan gunting percuma yang sedikit sebanyak mampu meringankan beban ibu bapa yang duit potong rambut tersebut boleh digunakan untuk perbelanjaan harian lain,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Alexander, pihaknya (Armada Sri Aman) akan meneruskan program berkenaan berikutan sambutan menggalakkan daripada masyarakat sekitar daerah ini.

“Kita akan meneruskan program gunting rambut percuma kepada pelajar sekolah ini di masa akan datang dalam usaha meringankan beban keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai anak bersekolah,” ujarnya.

Terdahulu, penganjuran program berkenaan kata Alexander juga adalah merupakan niat dirinya untuk membantu golongan sasaran iaitu keluarga B40 yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 sebelum ini.

Malah penganjuran program berkenaan katanya juga secara tidak langsung akan dapat membantu golongan keluarga B40 menjimatkan kos perbelanjaan mereka untuk diguna bagi tujuan lain-lain urusan.

Dalam majlis tersebut, Alexander yang juga merupakan Ketua ARMADA (Pemuda) Bersatu Sarawak turut menyampaikan hadiah cabutan bertuah berupa beg sekolah dan alat tulis kepada 10 pelajar terpilih yang mengikuti program tersebut hari ini.