Regu Semera Nyo muncul juara Piala H&D Corner Kampung Niup 2022

SUKAN

REGU Semera Nyo dinobatkan sebagai juara pada Pertandingan Sepak Takraw Bahagian Samarahan dan Jemputan Piala H&D Corner Kampung Niup 2022, semalam.

Dalam perlawanan akhir itu, regu Semera Nyo yang menurunkan regu terkuat mereka, terpaksa berhempas pulas untuk membenam regu Leopard B dengan kiraan mata 21-16 dan 21-11 pada saingan berlangsung dengan aksi yang penuh mendebarkan.

NAIB JUARA….Regu Leopard B

Justeru, dengan kemenangan tersebut membolehkan regu Semera Nyo telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000, piala iringan beserta pingat, manakala regu Leopard B yang muncul naib juara menerima hadiah wang tunai sebanyak RM800, piala iringan dan pingat.

Sementara itu, perebutan di tempat ketiga pula menyaksikan regu Empila turut memperolehi kemenangan selepas menewaskan KBSS Serian dengan kiraan mata 21-17 dan 21-18.

Dengan itu, regu Empila berjaya membawa hadiah wang tunai sebanyak RM300, piala iringan beserta pingat manakala regu KBSS Serian pula membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM200, piala iringan dan pingat.

Kesemua hadiah pemenang telah disampaikan oleh Pengerusi Kejohanan Napi Mohamad dan juga Pengurus Restoran H&D Corner.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Kelab Sepak Takraw Kampung Niup dan Restoran H&D Corner itu telah disertai sebanyak 32 buah regu dari pelbagai kawasan Kuching, Kota Samarahan dan Serian yang dilangsungkan selama dua hari bertempat di Gelanggang Sepak Takraw Kampung Niup dekat Samarahan.