Projek naik taraf siap, Masjid Al-Amin Beladin berwajah baharu

TEMPATAN

BELADIN: Masjid Al-Amin Beladin di sini, kini berwajah baharu apabila projek menaik taraf rumah ibadat siap sepenuhnya Disember tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor berkata, impian untuk melihat projek berharga RM2 juta itu berwajah baharu tercapai hasil kerjasama pengurusan Masjid Al-Amin Beladin.

“Masjid ini dilengkapi dewan seminar, bilik mesyuarat, dewan makanan dan kemudahan lain.

“Saya berharap dengan siapnya projek menaik taraf masjid ini, ia akan menjadi tumpuan penganjuran aktiviti dan program kemasyarakatan sesuai dengan statusnya sebagai masjid mukim di bahagian Betong, dalam daerah Pusa,” katanya pada Majlis Doa Selamat di Masjid Al-Amin Beladin di sini.

Razaili berkata, projek itu membuktikan kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengutamakan keperluan rakyat.

Ia juga menjadi lambang pembangunan syiar Islam terutamanya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro, katanya.