Projek RTP bantu selesai masalah rakyat

TEMPATAN

ROBAN: Projek-projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) kerajaan negeri banyak membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Haji Mohamad Duri berkata, permasalahan melibatkan infrastruktur asas di kampung-kampung diselesai secara berperingkat.

“Kalau kita lihat, keperluan jalan kampung, sistem perparitan, dewan masyarakat, rumah ibadat dan kemudahan sukan dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa.

“RTP sebenarnya dianggap sebagai polisi kerajaan negeri yang berjaya membawa perubahan kepada kawasan di luar bandar, terutamanya di kawasan ini,” katanya semasa mengadakan perbincangan bersama Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat di Pejabat Daerah Roban.

Katanya, meskipun tidak dapat dilaksanakan serentak, namun ia disifatkan sebagai dana yang sangat efisien ke arah pembangunan luar bandar yang mapan.

“Dengan adanya peruntukan RTP, ia banyak membantu mengubah landskap pembangunan di luar bandar. Sebab itu saya kata, projek di bawah RTP amat besar manfaatnya,” ujarnya.

Lantaran itu, Mohamad akan memastikan beberapa projek RTP yang telah dicadangkan sebelum ini akan diteruskan dan diagih secara adil mengikut keperluan tempat.