Kerajaan GPS agih pembangunan sama rata- Dayang Noorazah

TEMPATAN

SIMANGGANG: Masyarakat Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga tidak dipinggirkan dalam menikmati pembangunan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata malah, semua kaum dijaga sama rata terutama dari segi kebajikan, pembangunan dan sebagainya.

“Tiada istilah pinggirkan orang Cina atau kaum lain di negeri ini. Semua rakyat diberi kebebasan beragama dan bantuan diberi tanpa memilih bangsa.

“Justeru, peranan ketua masyarakat penting supaya rakyat mendapat maklumat sahih mengenai bantuan kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra-Sambutan Tahun Baharu Cina 2022.

Dayang Noorazah turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memastikan pembangunan yang adil kepada semua komuniti di Sarawak.

Katanya, Kerajaan GPS mendapat semula mandat daripada rakyat pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) setelah memperoleh kemenangan berganda.

“Saya berterima kasih kepada rakyat, khususnya komuniti Cina atas sokongan berterusan, bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam usaha membawa kemakmuran kepada Sarawak,” katanya.

Dalam majlis tersebut Dayang Noorazah telah menyampaikan sumbangan kepada warga emas komuniti Cina bagi merigankan beban mereka menyambut perayaan Tahun Baharu Cina yang akan datang.

Turut hadir ialah Temenggung Kueh Aik Seng, Penghulu Kang Tai Kong, Kapitan Hii Ngik Chuang dan Kapitan Kuek Siaw Yong.