Dewan Seri Lemanak berwajah baharu

TEMPATAN

SIMANGGANG: Dewan Seri Lemanak dekat Jalan Stawang kini berwajah baharu apabila kerja-kerja menaik taraf dewan berkenaan telah siap sepenuhnya, sekaligus bakal memberi manfaat kepada penduduk di sekitarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata kerja menaik taraf dewan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan kos sebanyak RM350,000, dimana Majlis Daerah Sri Aman adalah agensi pelaksana projek terbabit.

“Dewan Masyarakat Seri Lemanak ini bakal memberi manfaat kepada penduduk kampung sekitar serta boleh digunakan atai disewakan kepada komuniti setempat, jabatan kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan untuk melaksanakan aktiviti kemasyarakatan termasuk urusan perkahwinan dan keramaian,” katanya semasa menyaksikan simbolik penyerahan kunci Dewan Seri Lemanak kepada Pengurusan Dewan Seri Lemanak semalam.

Dayang Noorazah berkata beliau komited membawa perubahan dan memastikan penduduk di kawasannya itu tidak ketinggalan dari segi infrastruktur asas dan kemudahan lain.

Beliau amat yakin projek ini memberi keselesaan kepada penduduk di sekitar, tidak hanya membabitkan naik taraf dewan ini, malah projek-projek lain.

“Penduduk cukup bertuah kerana mendapat kemudahan ini dan harus berterima kasih kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menyediakannya,” ujarnya.

Dayang Noorazah menjelaskan pelaksanaan RTP membuktikan Kerajaan Sarawak begitu prihatin kepada rakyat dengan peruntukan yang besar untuk pembangunan negeri ini.

“Kerajaan Sarawak begitu serius dalam membantu meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar di sini. Ia dapat dilihat melalui kelulusan peruntukan di bawah RTP untuk semua kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini.

“Tiada yang terkecuali dalam usaha terbabit dan semua wakil rakyat GPS juga berusaha malah menggandakan lagi usaha berkenaan untuk rakyat,” tegasnya.

Turut hadir ialah Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman Tay Guan Huat, Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Dewan Seri Lemanak, Awang Mazelan Awang Majit, Ketua Kampung HuLu Lemanak, Kipli@Bolhi Jol, Jurutera Awam Fanny Jun dan Penolong Jurutera Dayangku Haniza Awang Azahari.