Liga Sri Aman kembali semula 12 Mac depan

SUKAN

SELEPAS setahun ditangguh, saingan Liga Sri Aman kini kembali lagi apabila ia bakal bermula pada 12 Mac depan.

Hasil perbincangan dalam Mesyuarat Penyelarasan Penyambungan Baki Liga Sri Aman 2021 yang diadakan secara atas talian baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA) telah bersetuju untuk menyambung semula saingan liga yang telah tertangguh selama setahun itu.

Menurut kenyataan semalam, saingan Liga Sri Aman 2021 yang tertunda sejak Mac 2021 itu akan bermula pada 12 Mac 2022 bagi peringkat kumpulan, manakala pada 19 dan 20 Mac untuk peringkat separuh akhir. Perlawanan akhir Liga Sri Aman akan dilangsungkan pada 26 Mac 2022.

Dalam mesyuarat itu, pasukan Cybercrocs yang diundi dalam Kumpulan B Liga Sri Aman telah menarik diri daripada penyertaan disebabkan kesemua pemain telah dan dalam proses berpindah.

Penarikan diri pasukan CyberCrocs bermakna jadual perlawanan membabitkan Liga Sri Aman 2021 terpaksa dijadualkan semula.

Memandangkan Kumpulan B hanya tinggal tiga pasukan iaitu Datus United, The Cops dan Englant sahaja, mesyuarat telah menetapkan bahawa Datus United yang kini mendahului carta kumpulan secara automatik telah layak ke separuh akhir Liga Sri Aman 2021.

Ini bermakna penjadualan perlawanan untuk pasukan dalam Kumpulan B hanya membabitkan pasukan Englant FC dan The Cops sahaja untuk merebut kedudukan kedua peringkat kumpulan dan seterusnya layak ke separuh akhir mengiringi Datus United.

Terdahulu, saingan Liga Sri Aman 2021 bagi merebut Piala Datuk Francis Harden Hollis menawarkan hadiah lumayan dengan sang juara membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, naib juara RM3,000, tempat ketiga pula mendapat hadiah wang tunai RM2,000 dan tempat keempat menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,000.

Anugerah Khas turut disediakan kepada pemain terbaik perlawanan akhir, penjaring terbanyak dan Fair Play.

Sementara itu, saingan Liga Sri Aman yang menyingkap tirainya pada tahun 2020 lalu telah disertai sebanyak sembilan buah pasukan yang menyertainya.

Sembilan pasukan itu ialah juara bertahan, Merpati Team, PDRM, Datus United, JAPSA FC, Azam FC, Englant FC, PC United FC, Rimong Crocs United dan Cyber Croc.