Futsal Piala Datuk Bandar Miri, 25-27 Feb ini

SUKAN

Oleh; Adi Safarman

SEJUMLAH RM9,800 hadiah wang tunai keseluruhan bakal menanti pemenang pada Kejohanan Futsal Lelaki Terbuka bagi merebut Piala Datuk Bandar Miri, pada 25 hingga 27 Februari ini.

Menurut Presiden Kelab Sosial Dan Rekreasi Kakitangan Majlis Bandaraya Miri, Mohd Zaidi Adrus Razali, berkata pertandingan itu adalah terbuka kepada semua pasukan futsal lelaki di negeri ini dan ia bakal menyajikan satu lagi persaingan sengit dan Stadium Terutup Miri bakal menjadi medan utama pertandingan itu kelak.

“Pertandingan ini adalah terbuka kepada semua kelab dan pasukan futsal di negeri ini dengan menjanjikan hadiah menarik dimana sang juara akan membawa pulang hadiah wang tunai yang lumayan berjumlah RM5,800, piala iringan, pingat dan hamper.

“Naib juara pula akan bakal membawa piala, pingat dan wang tunai berjumlah RM2,000, piala, pingat dan hamper manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,500 dan RM500,” katanya kepada Utusan Sarawak baru-baru ini.

Mohd Zaidi berkata penyertaan hanya terhad kepada 40 buan pasukan dan pemilihan penyertaan dibuat berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’.

Selain itu, Anugerah Khas turut disediakan kepada pemain terbaik sepanjang kejohanan yang bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM300 berserta piala, penjaga gol terbaik (RM200 berserta piala) dan pasukan terbaik (RM100 berserta piala).

Jelasnya penganjuran Futsal Lelaki Terbuka bagi merebut Piala Datuk Bandar Miri yang dianjurkan oleh Kelab Sosial Dan Rekreasi Kakitangan Majlis Bandaraya Miri dan dikelolakan oleh Hannah Restaurnat & Catering serta P. Ramlee Kolok & Catering pada kali ini bakal mendapat sambutan dan sokongan dan berharap kejohanan yang dianjurkan pada kali ini akan lebih banyak lagi penyertaan kepada jaguh-jaguh pasukan futsal di negeri Sarawak ini untuk bertanding dan merangkul gelaran.

Dalam pada itu, Mohd Zaidi juga memberitahu bahawa yuran penyertaan kemasukan pertandingan itu akan dikenakan sebanyak RM300 sahaja untuk setiap pasukan dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 22 Februari 2022.

Mereka yang ingin menyertai pertandingan itu nanti katanya, tempahan penyertaan dan pertanyaan lanjut bolehlah menghubungi Shah Izuandi Mahdi di talian (010-5696935).

  • UTUSAN SARAWAK