ADUN Lingga tampil bantu mangsa kebakaran Kampung Hulu Sri Aman

TEMPATAN

SIMANGGANG: Penderitaan dialami oleh empat sekeluarga selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Hulu Sri Aman mendapat perhatian segera oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor semalam.

Sumbangan kilat yang disumbangkan oleh wakil rakyat itu telah disampaikan oleh wakilnya, Zamari Morsidi kepada mangsa kebakaran.

Dayang Noorazah berkata, walaupun sumbangan itu tidak seberapa, namun diharap dapat meringankan beban dipikul setiap mangsa dan pada masa sama tindakan susulan akan diambil oleh agensi kerajaan yang bertanggungjawab.

“Saya berharap seluruh keluarga mereka bersabar dan sentiasa kuatkan semangat dan iman menghadapi dugaan tersebut.

“Biarpun sedikit, sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat memberikan semangat baharu kepada semua mangsa yang terjejas,” ujarnya.

Dayang Noorazah berkata kebakaran itu telah memusnahkan kediaman penduduk yang di diami empat sekeluarga iaitu Radiah Tahir, Sadiah Tahir, Amy Zulaika Said dan Mohd Dennis Abdullah, bagaimanapun ia tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

“Difahamkan kebakaran itu menjejaskan sebuah keluarga yang terdiri daripada empat orang dan ketika ini mereka berteduh di sebuah surau berhampiran.

“Ketika ini bantuan yang disalurkan melibatkan tilam, selimut dan keperluan makanan manakala bantuan seperti bahan untuk pembinaan semula rumah dan bantuan lain akan disalurkan selepas menerima maklumat lengkap,” tambahnya.

Terdahulu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 3 Sarawak, PgB Ramlan Marajan berkata kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.15 malam Sabtu lalu itu bagaimanapun kesemua mangsa sempat menyelamatkan diri selepas menyedari api merebak dan bau asap kuat.

Katanya Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman menerima panggilan daripada penduduk berhubung kebakaran itu sekitar jam 8.22 malam dan menggerakkan seramai lapan anggota bomba yamg diketuai PBK II Tony Morni ke lokasi kejadian.

“Sebaik sahaja tiba dilokasi kejadian, didapati benar kebakaran berlaku sebuah kediaman satu tingkat jenis tidak kekal telah terbakar 100 peratus.

“Anggota bomba membuat pemadaman menggunakan sumber air dari pili bomba berdekatan ke pam jentera membentang hos satu aliran 200 kaki daripada empat nozel untuk memadam kebakaran sehingga api dapat dikawal dan padam sepenuhnya,” katanya.

Ramlan berkata hasil daripada maklumat yang diambil, kebakaran tersebut di dapati bermula daripada bilik tidur dimana maklumat tersebut diambil daripada saksi.