Jawatankuasa Dewan Seri Lemanak ditubuh

TEMPATAN

SIMANGGANG: Selepas Dewan Seri Lemanak dekat Jalan Stawang dekat sini berwajah baharu, satu jawatankuasa telah ditubuhkan bagi sesi penggal 2022/2025 yang diadakan petang semalam.

Pada mesyuarat tersebut, Alfian Abu Bakar telah dipilih sebagai Pengerusi baharu Dewan Seri Lemanak yang telah dipersetujui seramai 30 orang yang telah hadir pada sesi pemilihan itu.

Manakala Majeli Jol@Jolhi sebagai Timbalan Pengerusi. Bagi jawatan Setiausaha pula sebulat suara telah memilih Iswandi Kassim dan dibantu oleh Abdul Manan Abdul Latip sebagai Timbalan Setiausaha.

Sementara itu, jawatan Bendahari Dewan Seri Lemanak pula disandang oleh Awang Mazelan Awang Majit.

Dalam pada itu, mesyuarat tersebut juga bersetuju mewujudkan sebanyak 11 Exco yang terdiri daripada exco keselamatan, kebersihan, media dan promosi, perhubungan awam, kelengkapan, teknikal, pengurusan aset dan audit, kebajikan dan kerohanian, sukan dan rekreasi, tempahan dan sewaan dewan serta exco gerai jualan.

Alfian berkata sebagai pengerusi baharu Dewan Seri Lemanak, beliau meminta exco yang dilantik akan memberi kerjasama yang penuh kepada beliau dalam menjayakan pengurusan baharu dewan terbabit.

Katanya adalah menjadi harapan besar beliau agar segala perancangan berupa aktiviti dan program yang dianjurkan selepas ini dapat memberi manfaat kepada semua masyarakat di sini.

“Saya harap semua exco yang dilantik ini akan memberi kerjasama yang penuh kepada saya dan mereka juga telah diberi tugas masing-masing bagi mengendalikan amanah yang bakal dipikul mereka kelak.

“Saya mahu exco yang dilantik itu lebih berkreatif dan berinovatif, bukan hanya sekadar dewan kerana kita mahu Dewan Seri Lemanak ini dipenuhi dengan segala aktiviti kemasyarakatan selepas ini,” ujarnya.

Alfian juga berharap para belia di kampung terbabit agar memanfaatkan dewan tersebut untuk mengadakan aktiviti yang sihat seperti bermain badminton, ping-pong dan banyak lagi.

Dalam pada itu, Alfian turut merancang lokasi Dewan Seri Lemanak sebagai tempat jualan juadah makanan menjelang bulan Ramadan nanti.

“Kita juga telah merancang agar ruang parkir Dewan Seri Lemanak ini dijadikan tempat jualan juadah makanan (bazar Ramadan) pada bulan Ramadan nanti, dan perkara ini kita akan umumkan dalam masa terdekat ini.

“Sekaligus ia memberi peluang kepada peniaga untuk menjual makanan serta meningkatkan ekonomi mereka,” tambahnya.

Terdahulu, pada mesyuarat tersebut turut diadakan Majlis Serah Tugas bagi jawatan Setiausaha Dewan Seri Lemanak oleh Awang Mazelan Awang Majit kepada Iswandi Kassim dekat sini semalam.