Jawatankuasa Dewan Seri Lemanak lancar tabung bencana kebakaran 18 dan 19 Feb ini

Uncategorized

SIMANGGANG: Simpati dengan nasib sebuah keluarga di Kampung Hulu Sri Aman yang tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka musnah dalam kebakaran baru-baru ini, Jawatankuasa Dewan Seri Lemanak akan melancarkan Tabung Bencana Kebakaran untuk mengumpul sumbangan daripada orang ramai.

Pengerusi Dewan Seri Lemanak, Alfian Abu Bakar berkata Tabung Bencana Kebakaran itu ditempatkan di Dewan Sri Lemanak bermula pada 18 hingga 19 Februari ini bermula jam 7 hingga 10 malam untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk memberi sumbangan.

“Jadi, saya mewakili Jawatankuasa Dewan Seri Lemanak berharap agar orang ramai akan dapat sama-sama membantu memberi sumbangan untuk tabung yang akan dilancarkan selama dua hari bermula Jumaat dan Sabtu ini bagi membantu penduduk terbabit yang dilanda musibah,” katanya.

Alfian berkata inisiatif itu bagi membantu meringankan beban ditanggung keluarga mangsa yang kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka musnah dijilat api dalam kejadian malam Sabtu lalu.

Katanya Jawatankuasa Dewan Seri Lemanak sedia membantu bagi meringankan beban dan masalah yang dihadapi mangsa kebakaran terbabit dengan mengumpul bantuan daripada orang ramai.

Turut bersama ialah Setiausaha Dewan Seri Lemanak, Iswandi Kassim, Bendahari Dewan Seri Lemanak, Awang Mazelan Awang Majit dan Exco Dewan Seri Lemanak, Saripaie Morshidi dan Rostandi Rosli.