108 murid tahun enam diraikan pada Majlis Khatam Quran

TEMPATAN

SARATOK: Seramai 108 orang murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Abdul Rahman Saratok diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Al Muhtadin semalam.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Haji Mohamad Duri.

Menurut Guru Besar SK Abang Abdul Rahman, Mahrup Engga berkata Majlis khatam al-Quran itu merupakan program tahunan yang bertujuan memberikan pengiktirafan kepada murid-murid khususnya yang berada di tahun enam dan telah berjaya menamatkan bacaan al-Quran mereka.

“Objektif utama program ini adalah bagi memberi galakan dan perangsang kepada murid-murid di peringkat tahun lima ke bawah supaya memegang tekad menghabiskan bacaan al-Quran sebelum mencecah usia 12 tahun.

“Melalui program ini juga, murid-murid akan bersungguh-sungguh untuk khatam dan secara tidak langsung mereka akan membaca kitab suci itu setiap hari dan mengamalkannya amalan yang terdapat di dalam kitab suci itu,” katanya.

Menurutnya, sebagai generasi muda, murid sekolah itu perlu celik dan mahir dalam bacaan al-Quran supaya ia menjadi pedoman dalam kehidupan seharian.

Selain itu Mahrup berkata majlis khatam Al-Quran itu turut mendapat penyertaan seramai sembilan pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Syn Saratok.

“Kita menyambut baik usaha pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menganjurkan majlis khatamal bagi menyuburkan minat membaca al-Quran yang mendalam dalam kalangan anak-anak.

“Tanggungjawab yang besar ini bukan sahaja diserahkan di bahu para pendidik dan warga sekolah amnya khususnya guru agama atau JQAF tetapi peranan ibu bapa itu sendiri amat penting untuk menjayakan matlamat tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, pihak sekolah bukan sekadar meraikan kejayaan anak-anak menamatkan pengajian membaca al-Quran, tetapi paling penting ialah keupayaan anak-anak ini menguasai pembacaan kitab suci al-Quran dengan kaedah dan tajwid yang betul.

Turut hadir ialah bekas ADUN Kalaka, Datuk Abdul Wahab Aziz, Guru Besar (SJKC) Min Syn, Wong Poh Tien, Yang Dipertua Pibg SK Abang Abdul Rahman, Mohd Arfan Johari dan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al Muhtadin
Saratok, Yusuf Trang.