Rider Food Panda Simanggang berkongsi rezeki kepada mangsa kebakaran

TEMPATAN

BAGI sesiapa yang bekerja sebagai penghantar makanan (delivery rider) seperti Food Panda dan sebagainya, pasti mereka rasa bukan mudah hendak mencari duit ketika musim pandemik ini.

Ekonomikan tengah terjejas, sedikit-sebanyak ia turut menjejaskan juga pendapatan para rider ini apatah lagi di Bandar Simanggang yang kadar kependudukannya adalah rendah.

Jadi kalau sehari tu boleh dapat kumpul sampai RM50 pun, itu dah kira besar sangat dah tu, kan?

Tapi tahukah anda, di tengah-tengah kesempitan ini, ada juga rider yang sanggup ‘lepaskan’ sejumlah besar duit ‘fare’ delivery nya untuk tujuan sedekah? Ya, masih ada.

Inilah yang dibuktikan oleh adik-adik rider Food Panda Bandar Simanggang yang sanggup berkongsi rezeki untuk bersama-sama menyumbang kepada Tabung Bencana kebakaran Kampung Hulu yang telah dilancar oleh Jawatankuasa Pengurusan Dewan Seri Lemanak baru-baru ini.

Menurut jurucakap kumpulan tersebut, Nurhafizan Karim, 25, berkata walaupun pendapatan mereka ibarat kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang, rasa tanggungjawab dan prihatin mereka terhadap komuniti mendorong mereka untuk membuat pungutan dikalangan rider bagi meringankan nasib mangsa kebakaran selain menyokong penuh program amal Tabung Bencana Kebakaran anjuran Dewan Seri Lemanak.

“Walaupun cukup letih berhujan berpanas ke hulu ke hilir menghantar makanan kepada pelanggan, namun tindakan ini diharap menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat sekeliling agar saling bantu-membantu dan bersatu dan dengan harapan sedikit sebanyak dapat menghapuskan stigma negatif masyarakat terhadap rider-rider Food Panda” kata Nurhafizan lagi.

Memang benar, pengorbanan mereka merupakan secebis kisah perjuangan belia dalam komuniti adalah cukup bermakna.

Dengan jumlah terkumpul RM650 yang disumbangkan kumpulan ini melalui Tabung Bencana Kebakaran itu, bukanlah jumlah yang kecil sebenarnya, apatah lagi ianya dikumpul dalam tempoh yang singkat.

Harapan kita moga rider-rider Food Panda ini terus dimurahkan rezeki dan menjadi inspirasi masyarakat lainnya.

Dalam pada itu, Nurhafizan bersama-sama rider Food Panda lainnya turut menyampaikan sumbangan derma itu kepada Pengerusi Dewan Seri Lemanak, Alfian Abu Bakar dan Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sri Aman, Azmi Morshidi.