Liga Sri Aman: Azam FC sedia gempur

TEMPATAN

SKUAD serba muda, Azam FC sudah cukup bersedia untuk memulakan kempen Liga Sri Aman yang dijangka bermula 12 Mac depan.

Bagi ketua jurulatih Azam FC, Abang Zamzam Abang Budiman berkata pasukannya lega apabila mendapat tahu saingan Liga Sri Aman yang telah tertunda sejak Mac 2021 itu, disambung semula bulan Mac ini.

“Saya telah kerahkan semua pemain-pemain untuk melakukan latihan kerana pasukan kita telah lama tidak beraksi, sedikit-sebanyak telah merosakkan ‘mood’ pemain dan saya berharap pemain akan dapat mengembalikan semula stamina dan kecergasan mereka sebelum liga bersambung,” katanya kepada pemberita hari ini.

Abang Zamzam berkata skuad Azam FC pada penghujung minggu ini (Sabtu dan Ahad) akan mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan dua pasukan pilihan sebagai aksi pemanas badan yang dilangsungkan di Kompleks Sukan Sri Aman.

“Pembentukan skuad mantap menerusi aksi perlawanan persahabatan ini dengan gandingan pemain berwibawa dan tempatan berpengalaman, mampu meletakkan skuad Azam FC berada di landasan terbaik untuk memberikan saingan sengit menjelang aksi Liga Sri Aman yang akan bersambung pada Mac ini.

“Saya harap perlawanan persahabatan ini mampu menjadi medan ujian terbaik kepada barisan jurulatih serta pemain memperkemaskan pasukan bagi membentuk satu gandingan serta keserasian dan corak permainan diantara mereka,” ujarnya.

Abang Zamzam mahukan pemain muda mereka untuk mendapat pendedahan yang secukupnya. Beliau menginginkan para pemain untuk menunjukkan aksi cemerlang mereka dalam aksi perlawanan persahabatan ini nanti

“Penting bagi pasukan Azam FC untuk memperbaiki segala kelemahan dalam pasukan bagi memastikan kita berada dalam keadaan terbaik sebelum Liga Sri Aman bersambung semula nanti,” tegas beliau.

Mengulas mengenai perkembangan latihan pasukan, Abang Zamzam berpuas hati, namun mengharapkan prestasi pemain dapat ditingkatkan.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati, tetapi pemain kena tingkatkan prestasi bukan hanya dalam perlawanan persahabatan, namun saya mahu prestasi tersebut terus kekal sehingga sepak mula Liga Sri Aman nanti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abang Zamzam berkata, pihaknya tidak sama sekali mengejar gelaran kejuaraan sepertimana yang diimpikan oleh pasukan-pasukan lain, bagaimanapun mereka terus mengimpikan bagi membentuk sebuah pasukan bawah 23 tahun yang mantap selepas ini.

“Penyertaan Azam FC yang rata-ratanya dibarisi pemain berusia bawah 23 tahun pada kancah Liga Sri Aman musim ini, adalah sebagai pendedahan kepada pemain-pemain yang tidak berpengalaman untuk menimba pengalaman berharga sebelum persiapan membentuk pasukan bawah 23 tahun selepas ini.

“Itulah misi utama pasukan Azam FC selepas ini, kita mahu bentuk sebuah pasukan muda yang mantap dari semua posisi, medium melalui penganjuran Liga Sri Aman kali ini, mereka telah diberi peluang untuk menunjukkan bakat dan kemahiran mereka,” tambahnya.

Dalam pada itu, skuad Azam FC telah mengharungi sebanyak tiga perlawanan hanya mengumpul satu mata hasil sekali seri dan dan mengalami dua kekalahan.