Azam FC perlukan pasukan ‘sparring’ yang kuat

SUKAN

SKUAD Azam FC akan mempunyai tugas sukar apabila menghadapi Liga Sri Aman yang bakal bermula 12 Mac ini tanpa sebarang perlawanan persahabatan yang berkualiti.

Ketiadaan perlawanan seumpamanya di dalam jadual latihan pasukan itu, menyaksikan ketua jurulatih Abang Zamzam Abang Budiman sukar menilai kemampuan dan keserasian pemainnya, sekaligus merencatkan persediaan skuad dalam menguji kemampuan sebenar pasukan muda itu.

Abang Zamzam berkata meskipun sudah menjalani latihan intensif sejak minggu lalu, namun ia tidak mencukupi bagi menguji tektikal dan strategi pasukan.

“Tanpa aksi persahabatan sukar untuk menilai kemampuan dan keserasian pemain.

“Pasukan kita sehingga kini belum diuji dengan pasukan yang standardnya yang lebih tinggi, meskipun begitu kesemua pemain muda kita tetap bersedia memulakan kempen Liga Sri Aman,” katanya kepada pemberita semalam.

Begitupun, kata Abang Zamzam menjelaskan Azam FC telah mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan namun ia masih tidak mencukupi dan kompetitif.

“Azam FC masih memerlukan pasukan ‘sparring’ yang kuat untuk kita menguji setiap kelemahan dan mencongak strategi yang tepat dalam setiap perlawanan.

“Ini kerana kita tidak boleh bergantung kepada satu formasi sahaja kerana kita tidak tahu prestasi dan rentak permainan pasukan lawan dalam perlawanan sebenar nanti,” ujarnya.

Namun begitu, beliau terus menitikberatkan aspek kecergasan. Mereka mahu setiap pemain berada pada tahap kecergasan maksimum.

Berbaki seminggu lagi saingan Liga Sri Aman bermula, Abang Zamzam menjelaskan masih banyak yang perlu diperbaiki bagi skuad Azam FC untuk tampil dengan persembahan lebih mantap.

“Kita berusaha menggunakan sepenuhnya tempoh seminggu ini bagi memperkemaskan pasukan, terutamanya dalam memperbaiki setiap kelemahan supaya pasukan dapat mempamerkan aksi lebih kemas dan mantap menjelang perlawanan mennetang PC United.

“Saya menekankan betapa pemain perlu kekal fokus dan terus bekerja keras meningkatkan prestasi kerana saingan liga itu dijangka akan mencabar serta memerlukan komitmen tinggi setiap pemain,” tegasnya.

Abang Zamzam menegaskan, setiap pemain tidak akan diberi laluan mudah, sebaliknya mereka perlu membuktikan kemampuan jika mahu beraksi dalam setiap perlawanan.

“Saya tidak akan beri laluan mudah jika mahu berada dalam kesebelasan utama. Mereka perlu bersaing dan buktikan mereka benar-benar layak.

“Berdasarkan masa yang kita ada, kami perlu bersiap sedia sepenuhnya. Bagi saya, fasa untuk pemain-pemain mengenali antara satu sama lain berjalan dengan baik,” tambahnya.