Kampung Maludam bakal miliki mesin ATM

TEMPATAN

MALUDAM: Kampung Maludam bakal memiliki kemudahan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) pada tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata projek itu dijangka siap dalam tempoh enam bulan, bakal memanfaatkan lebih 5,000 penduduk kawasan sekitar serta kampung berhampiran.

Dayang Noorazah berkata, sebelum ini penduduk Maludam terpaksa ke pekan Pusa sekiranya mempunyai urusan perbankan dan perjalanan memakan masa sekitar 30 minit termasuk menunggu feri.

Selain itu, tambahnya apabila sampai mereka terpaksa beratur kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), maknanya hampir setengah hari masa dihabiskan untuk urusan tersebut.

Beliau yakin, mesin ATM dan CDM berkenaan mampu meningkatkan lagi ekonomi penduduk Maludam kerana bila ada aliran tunai, banyak peluang perniagaan akan wujud.

“Kedai runcit akan meningkat jualannya dan peluang pekerjaan akan bertambah. Ini yang kita nampak dalam usaha membantu masyarakat luar bandar terutama di Maludam.

“Jika ada tunai di kawasan Maludam, banyaklah peluang perniagaan akan diwujud,” ujarnya.

Untuk rekod, isu ketiadaan mesin ATM hangat diperkatakan sejak pandemik Covid-19 melanda dunia, apabila penduduk pedalaman dan luar bandar terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk ke pekan dan bandar terdekat bagi menggunakan khidmat perbankan.