Liga Sri Aman: Merpati Team tidak sabar beraksi

SUKAN

JUARA bertahan, Merpati Team bersedia mengharungi baki saingan Liga Sri Aman yang bermula Sabtu ini di Kompleks Sukan Sri Aman.

Pengurus pasukan Merpati Team, Hazlin Haji Ali Hassan berkata setelah setahun kempen Liga Sri Aman tertunda, kini tiba masanya pasukan kendalian Sulaiman Idi akan turun beraksi menentang skuad Rimong Croc United, petang Sabtu ini.

Beliau berkata anak-anak buah­ Sulaiman itu kini telah bersedia sepenuhnya untuk memulakan saingan dan berazam menghadiahkan kemenangan ketiga selepas berjaya memenangi dua perlawanan sebelum itu.

“Sasaran kita pada perlawanan ketiga petang Sabtu ini adalah untuk memburu tiga mata penuh dan saya lihat skuad kita (Merpati Team) telah berse­dia sepenuhnya untuk memulakan perjuan­gan mereka.

“Kita akan berjuang habis-habisan bagi memastikan ke­menangan berpihak kepada pasukan Merpati Team,” katanya kepada Sarawak Press Daily Online hari ini.

Menurut Hazlin, beliau percaya apa yang dihajati mereka mampu digapai dengan menuntut komitmen barisan kesebelasan utama pemain yang diturunkan untuk perlawanan penting ini sekaligus mahu mengekalkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan A saingan Liga Sri Aman.

“Mahu tidak mahu pasukan kita wajib memenangi perlawanan ini, kita mahu terus kekal berada di tangga teratas Kumpulan A dan menempah tiket ke pusingan separuh akhir selepas itu.

Dalam pada itu, Hazlin turut memberitahu tiada masalah untuk pasukan kendalian Sulaiman menyediakan barisan terbaik bagi perlawanan petang Sabtu kelak kerana kesemua tonggak utama bebas daripada kecederaan mahupun penggantungan.

Justeru itu, beliau menuntut kerja keras berpasukan yang bakal dipamerkan dan beraksi cemerlang dalam baki dua perlawanan selepas ini.

“Jadi, matlamat pasukan adalah kita kena kerja dua kali (ganda) lebih keras daripada kebiasaan dalam menghadapi saki-baki perlawanan selepas ini,” ujarnya.

Hazlin menjelaskan beliau percaya aspek mentaliti untuk menjadi juara yang diterapkan oleh pemain yang diamanahkan adalah kunci utama bagi merebut gelaran kejuaraan musim ini.

“Saya seringkali mengingatkan setiap pemain agar mempunyai mentaliti untuk menjadi juara dan memperoleh kemenangan dalam setiap perlawanan bagi memastikan kejayaan milik pasukan. Kalau ada mentaliti untuk menang…InsyaAllah (kita boleh mencapai kemenangan),” ujarnya.

Dalam pada itu, Merpati Team terus menyandarkan kudrat tonggak utama pemain yang rata-rata dikekalkan pada musim lalu, diketuai oleh bekas pemain Sarawak, Awang Sifullah Awang Yaman sebagai ketua pasukan dan beberapa pemain import daripada bandaraya Kuching. – ADI SAFARMAN