80 pemancing sertai Pertandingan Nyintak Udang di Sungai Batang Lupar, Sabtu ini

Uncategorized

Seramai 80 pemancing bakal memeriahkan Tebingan Sungai Batang Lupar dekat Pengkalan Pak Adet, Kampung Hulu Sri Aman bersempena Pertandingan Nyintak Udang Edisi 2022, Sabtu ini.

Menurut Pengerusi pertandingan, Zamari Morsidi berkata pertandingan tersebut diadakan dalam tempoh empat jam setengah bermula pada jam 9 pagi hingga 1.30 petang.

Katanya kesemua peserta hanya dibenarkan untuk membawa dua set alat memancing bagi setiap peserta yang telah mendaftar.

Peserta yang menjadi juara pertandingan memancing Nyintak Udang ini akan membawa balik wang tunai sebanyak RM500, tempat kedua RM350, manakala tempat ketiga RM250 dan tempat keempat dan kelima akan membawa pulang hadiah wang tunai RM100.

Selain itu hadiah lumayan (Jackpot) sebanyak RM1,000 disediakan kepada peserta yang berjaya memperoleh pancingan udang seberat 120 gram keatas.

Jelasnya, pertandingan yang mencabar dan istimewa ini akan membolehkan para kaki pancing mempamerkan bakat dan kebolehan memancing mereka.

Zamari menambah selain pertandingan Nyintak Udang, pihaknya turut menganjurkan dua program sampingan iaitu pertandingan karaoke dan pertandingan memasak.

“Untuk pertandingan karaoke, juara akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM100, tempat kedua (RM70) dan tempat ketiga hingga kesepuluh menerima hadiah wang tunai RM50).

“Bagi pertandingan memasak pula, hadiah tempat pertama iaitu RM200, tempat kedua RM150, tempat ketiga RM100 dan keempat RM50,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pertandingan tersebut dekat sini malam tadi.

Dalam pada itu, Zamari berkata pelbagai hadiah menarik melalui sesi cabutan tiket bertuah disediakan oleh penganjur kepada semua peserta dan pengunjung yang berada di lokasi Pertandingan Nyintak Udang Edisi 2022, pagi Sabtu ini.

Justeru, beliau menyeru kepada pengunjung-pengunjung yang hadir pada Pertandingan Nyintak Udang Edisi 2022 yang dianjurkan oleh Warga Kampung Hulu Lemanak dan Kampung Pasir Panas dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN N.28 Lingga untuk menyertai cabutan tiket bertuah yang disediakan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor dijangka akan menyempurnakan perasmian Pertandingan Nyintak Udang Edisi 2022, Sabtu ini.