PC United tidak pandang mudah kemampuan Azam FC

SUKAN

MENJELANG sepak mula saingan Liga Sri Aman pagi Sabtu ini, barisan pemain muda PC United diingatkan tidak memandang rendah keupayaan skuad Azam FC.

Pengurus pasukan PC United, Wan Mohd Mirzan Wan Hanafi berkata meskipun rata-rata pemain yang membarisi pasukan lawan itu belum lagi menemui rentak kemenangan dan telah mencatatkan dua kekalahan sebelum ini, namun keupayaan mereka tidak boleh diambil mudah oleh skuad yang dikendali oleh Abang Zamzam Abang Budiman itu.

Beliau juga mengakui menentang Azam FC pastinya tidak mudah dan ia akan menjadi pertarungan yang sukar dijangka apatah lagi selepas setahun skuadnya itu tidak beraksi dalam perlawanan sebenar.

“Walaupun pasukan Azam FC belum lagi mencatatkan sebarang kemenangan hasil daripada tiga aksi mereka, jangan anggap mudah dengan keupayaan pemain mereka.

“Setiap pasukan ada kelebihan dan kekuatan masing-masing. Saya harap semua dapat berikan yang terbaik dalam perlawanan penting pagi esok,” katanya kepada Utusan Sarawak hari ini.

Wan Mohd Mirzan berkata PC United yang dibimbing oleh ketua jurulatih, Jaffary Hamdan tidak boleh leka dalam tempoh 90 minit perlawanan bagi memastikan mereka meraih tiga mata penuh dalam perlawanan itu, sekaligus bakal mencerahkan peluang ke pusingan separuh akhir.

“Mahu tak mahu, kita mesti mendapatkan kemenangan menentang Azam FC pagi Sabtu ini, kita tidak boleh tewas dan saya percaya barisan jurulatih akan membariskan pemain terbaik untuk berdepan dengan pasukan lawan itu Sabtu ini,” ujarnya.

Jelasnya, banyak kelemahan yang perlu diperbaiki selepas beberapa aksi persahabatan diadakan baru-baru ini, di mana punca utama adalah daripada aspek kecergasan apabila sudah lama tidak mengharungi perlawanan sebenar sejak Liga Sri Aman ditunda sejak tahun lalu.

“Apa yang lebih penting sekali, pemain harus bersedia selain sentiasa beringat untuk tidak melakukan kesilapan kerana ia boleh membuka ruang kepada pemain lawan untuk mengambil kesempatan,” tambahnya.

Sebelum itu, Wan Mohd Mirzan turut memberitahu tiada masalah untuk pasukannya menyediakan barisan terbaik bagi perlawanan pagi Sabtu ini, kerana kesemua tonggak utama bebas daripada kecederaan mahupun penggantungan.

Kedudukan terkini menyaksikan PC United berada di tangga kedua berkongsi enam mata dengan pasukan Merpati Team yang berada di kedudukan teratas Kumpulan A Liga Sri Aman.