Azam FC punya ‘resepi’ terbaik halang kemaraan PC United

SUKAN

PENGENDALI Azam FC, Abang Zamzam Abang Budiman berkata beliau memiliki ‘resepi’ terbaik untuk menghadapi PC United pada saingan Liga Sri Aman yang bermula jam 8.30 pagi esok di Kompleks Sukan Sri Aman.

Abang Zamzam yang dikenali sebagai Coach Nanai menjelaskan, beliau telah lama mengenali corak permainan pemain dalam pasukan lawan itu. – ADI SAFARMAN

Coach Nanai

“Saya dah biasa dan mengetahui corak permainan pemain dalam pasukan PC United. Mereka juga mempunyai beberapa pemain berkualiti dan saya tahu kemampuan mereka.

“Saya akan mencaturkan strategi tertentu bagi menghadapi pasukan PC United pagi Sabtu ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Coach Nanai berharap semua pemain Azam FC sudah bersedia untuk menghadapi cabaran skuad kendalian Jaffary Hamdan itu, dan beliau percaya jika pemain bermain mengikut pelan yang sudah dirancang oleh barisan jurulatih, mereka mampu memberikan tentangan yang sengit sekaligus memungut tiga mata yang dihajati.

Dalam pada itu, beliau tidak mahu barisan pemainnya dalam penampilan aksi terakhir menentang PC United pagi esok disifatkan sebagai sekadar melengkapkan jadual perlawanan, malah sedia membuktikan yang mereka mampu memberi tentangan.

“Walaupun peluang pasukan Azam FC ke pusingan separuh akhir Liga Sri Aman sudah tertutup, tetapi perlawanan terakhir menentang PC United pagi esok perlu diberi fokus utama dan kita bertekad tidak mahu berputih mata.

“Saya percaya pemain Azam FC akan berjuang habis-habisan untuk memburu serta menghadiahkan kemenangan pertama pasukan pada perlawanan terakhir pada pagi esok,” tambahnya.

Coach Nanai menjelaskan jika dilihat diatas kertas pasukan PC United di anggap ‘favourite’ untuk memenangi perlawanan pagi esok, malah mereka juga dilihat berpeluang cerah ke pusingan separuh akhir.

“Tetapi pasukan Azam FC akan bermain bersungguh-sungguh hingga tiupan wisel penamat.

“Dan di dalam padang nanti sebarang kemungkinan boleh berlaku,” tegasnya lagi.

Beliau berharap barisan pemain Azam FC yang diturunkan nanti dapat menyaingi kekuatan pemain PC United, selain menuntut jentera tengah lebih kreatif mencipta gerakan manakala barisan penyerang dapat memanfaatkan peluang dengan jaringan.