Liga Sri Aman: Misi hidup mati Merpati Team petang esok

SUKAN

JUARA bertahan, Merpati Team sedar mereka tiada pilihan selain melakar kemenangan ke atas Rimong Croc United dalam aksi Liga Sri Aman pada petang esok di Kompleks Sukan Sri Aman, jika mahu melangkah ke pusingan separuh akhir.

Pengurus pasukan Merpati Team, Hazlin Haji Ali Hassan berkata ia merupakan satu perlawanan yang cukup penting buat pasukan asuhan Sulaiman Idi, seandainya mahu mengintai peluang ke peringkat pusingan kalah mati itu.

“Terlalu awal untuk mengatakan ini adalah perlawanan hidup mati pasukan Merpati Team, tetapi kami tidak ada pilihan selain wajib menewaskan Rimong Croc United, petang esok .

“Merpati Team perlu memanfaatkan segala peluang yang dimiliki sekali gus meraih kemenangan berharga,” katanya kepada pemberita hari ini.

Hazlin berkata sudah semestinya tekanan kepada para pemain serta barisan jurulatih untuk memastikan tiga mata dalam genggaman pada aksi menentang Rimong Croc United petang esok harus direalisasikan, jika menang sudah tentu Merpati Team menjadi pasukan kedua selepas Datus United yang telah layak ke pusingan separuh akhir.

“Pasukan Merpati Team akan berjuang berhabis-habisan perlawanan petang esok sehingga ke wisel penamat. Kita akan beri tekanan yang hebat kepada Rimong Croc United,” ujarnya.

Apa yang lebih penting sekali jelas Hazlin, para pemain harus bersedia selain sentiasa beringat untuk tidak melakukan kesilapan kerana ia boleh membuka ruang kepada pemain lawan untuk mengambil kesempatan.

Dalam pada itu, Merpati Team terus menyandarkan kudrat tonggak utama pemain yang rata-rata dikekalkan pada musim lalu, diketuai oleh bekas pemain Sarawak, Awang Sifullah Awang Yaman sebagai ketua pasukan.

Merpati Team kini berada dikedudukan teratas Kumpulan A dalam saingan Liga Sri Aman dengan mengumpul sebanyak enam mata bersama pasukan PC United di tangga kedua.