Empat pasukan rebut slot Final Liga Sri Aman hujung minggu ini

SUKAN

MENJELANG SEPARUH AKHIR LIGA SRI AMAN

EMPAT pasukan mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir dalam saingan Liga Sri Aman penghujung minggu ini di Kompleks Sukan Sri Aman.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA), Alfred Kendim berkata empat pasukan terbabit iaitu juara bertahan, Merpati Team, Datus United, PC United dan Englant FC yang layak ke pusingan ‘kalah mati’ selepas menamatkan saingan kumpulan di kedudukan dua teratas.

“Bagi perlawanan separuh akhir pertama bakal menemukan Merpati Team yang akan menentang pasukan Englant FC, Sabtu ini jam 3.30 petang.

“Manakala separuh akhir kedua pula, Datus United akan betembung dengan pasukan serba muda, PC United yang akan dilangsungkan pada Ahad ini, jam 3.30 petang,” katanya hari ini.

Apapun Alfred berkata, keempat-empat pasukan dilihat berpeluang untuk memenangi perlawanan tersebut kerana masing-masing mempunyai kelebihan untuk mengatasi lawan.

“Walau bagaimanapun, tidak mustahil berlaku kejutan di peringkat separuh akhir nanti.

“Harus diingat bahawa senario dan aura persaingan kalah mati adalah jauh berbeza dengan peringkat liga,” ujarnya.

Dalam pada itu, Alfred menjelaskan perlawanan akhir Liga Sri Aman akan dilangsungkan pada petang 26 Mac ini, sebelum itu perebutan tempat ketiga turut diadakan pada sebelah paginya.

Saingan Liga Sri Aman bagi merebut Piala Datuk Francis Harden Hollis menawarkan hadiah lumayan dengan sang juara membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, naib juara RM3,000, tempat ketiga pula mendapat hadiah wang tunai RM2,000 dan tempat keempat menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,000.

Selain itu, Anugerah Khas turut disediakan kepada pemain terbaik perlawanan akhir, penjaring terbanyak dan Fair Play.

Sementara itu, saingan Liga Sri Aman yang menyingkap tirainya pada Januari 2020 lalu telah disertai sebanyak sembilan buah pasukan yang menyertainya.

Sembilan pasukan itu ialah juara bertahan, Merpati Team, PDRM, Datus United, JAPSA FC, Azam FC, Englant FC, PC United FC, Rimong Crocs United dan Cyber Croc. – ADI SAFARMAN