Mohd Adif sandaran utama jentera serangan Merpati Team

SUKAN

PENYERANG baharu Merpati Team, Mohd Adif Salim bakal menjadi taruhan jentera serangan skuad tersebut pada aksi separuh akhir menentang Englant FC petang esok dalam kempen Liga Sri Aman di Kompleks Sukan Sri Aman.

Katanya, walaupun pada penampilan pertama beliau berjaya membantu Merpati Team mengikat PC United 1-1, Selasa lalu, ia mampu menjadi pembakar semangat buatnya untuk memperagakan aksi terbaik dalam perlawanan petang ini.

“Saya berazam untuk menjaringkan seberapa banyak gol dalam perlawanan separuh akhir petang esok dan membantu pasukan untuk melangkah ke perlawanan akhir.

“Saya sudah bersedia sepenuhnya untuk beraksi dan tidak akan melepaskan peluang ini.

“Ini peluang terbaik untuk membuktikan keupayaan sebenar dan menghadiahkan kemenangan kepada pasukan serta peminat,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.

Tambah Mohd Adif yang merupakan bekas pemain Piala Presiden Sarawak, dia sudah membuat persiapan dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi perlawanan separuh akhir yang dijangka sengit petang esok.

“Apa yang penting saya perlu fokus dan memberikan aksi terbaik selain mengetepikan perasaan gementar,” ujarnya yang juga merupakan penjaring terbanyak dalam saingan Liga SSC-FAS 2021 yang mewakili Sri Aman FA, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Merpati Team diperkuatkan oleh dua bekas pemain Sarawak, Awang Sifullah Awang Yaman sebagai ketua pasukan, Adam Fahmi dan dua bekas pemain Piala Presiden Sarawak, Mohd Zulfadli Tahir dan Mohd Adif Salim. – ADI SAFARMAN