KPDNHEP Sri Aman pantau harga makanan di bazar ramadan

TEMPATAN

SIMANGGANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sri Aman akan meningkatkan aktiviti pemantauan harga barangan dan makanan di bazar Ramadan di sekitar bahagian Sri Aman dan Betong.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDNHEP Sri Aman, Al Redzamani Abdul Razak berkata, pemantauan utama adalah tertumpu kepada tanda harga, alat timbang dan sukat dan barangan tiruan serta produk halal.

Beliau memberi amaran kepada individu serta peniaga di sini supaya tidak menaikkan harga atau menyorok barang kawalan sepanjang musim Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Al Redzamani menggesa peniaga terutamanya di bahagian Sri Aman dan Betong menjalankan perniagaan secara beretika dengan menggunakan timbangan dan sukatan yang sah, tidak menjual barangan tiruan dan mempamerkan harga pada barangan jualan.

“Kita akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan secara keterlaluan oleh peniaga bazar Ramadan.

“Sekiranya didapati ada peniaga yang melakukan kesalahan, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka,” katanya kepada media semasa pelaksanaan Ops Pantau di Bazar Ramadan dekat bandar Simanggang semalam.

Al Redzamani berkata selepas lima hari Ramadan, KPDNHEP Cawangan Sri Aman tidak menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga barangan terutama juadah berbuka puasa, tetapi pemeriksaan dan tinjauan tetap akan dilakukan.

Mengenai pelancaran Ops Pantau di bahagian Sri Aman dan Betong, beliau berkata ia adalah satu langkah kerajaan untuk membantu rakyat dalam memastikan hak pengguna terpelihara terutama pada bula Ramadan.

Al Redzamani berkata pemantauan jualan di bazar Ramadan, kedai runcit dan jualan dalam talian juga akan dilakukan oleh pihaknya dengan lebih kerap.

“Ops Pantau ini bertujuan untuk memastikan bekalan barangan keperluan sepanjang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri mencukupi harga barangan berpatutan dan produk berkualiti,” ujarnya.

Al Redzamani berkata sebarang aduan boleh dibuat melalui talian hotline Kementerian di 1-800-886-800 atau portal e-aduan KPDNHEP iaitu http://e-aduan.kpdnhep.gov.my.

“Orang ramai juga boleh menghubungi pejabat KPDNHEP Sri Aman di talian 083- 323886 atau hadir sendiri di mana-mana pejabat Kementerian yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil,” ujarnya.