Beri peluang kepada belia, mereka boleh berlatih mulai sekarang

TEMPATAN

SUDAH tiba masanya golongan belia mengambil alih mana-mana penganjuran berupa pertandingan, program, aktiviti di peringkat kampung.

Ketua Kampung Hulu Lemanak, Jamali Hamden berkata ia sebagai dorongan agar lebih ramai golongan belia menyertai aktiviti kemasyarakatan di peringkat akar umbi.

“Kini sudah tiba masanya golongan terbabit dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan apa-apa penganjuran pertandingan, program dan aktiviti di peringkat kampung.

“Kita beri peluang dan ruang kepada mereka kerana golongan ini adalah merupakan pemimpin pelapis yang bakal mengambil alih kepimpinan di kampung ini pada masa akan datang” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat bersama Belia Kampung Hulu Lemanak di Surau Hayatul Islam dekat sini semalam.

Jamali berkata beliau tidak mahu golongan tersebut terlalu berharap dengan golongan dewasa mengendalikan sesuatu pertandingan atau program.

“Golongan belia ini akan mengambil alih kepimpinan kampung atau daerah suatu hari nanti, tidak kira sebagai seorang wakil rakyat atau ketua masyarakat.

“Generasi muda ini perlu sentiasa tampil ke depan untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan dalam usaha melahirkan pemimpin yang serba boleh, berdisiplin, berketerampilan dan belia yang sihat fizikal dan mental.

“Kerana merekalah yang akan menjadi pewaris kepada setiap kepimpinan yang ada. Mereka boleh berlatih mulai sekarang,” ujarnya.

Jamali berkata golongan belia perlu diberikan lebih banyak peluang untuk terlibat dalam kepimpinan, seperti program dan aktiviti di dalam kampung, ini kerana belia sebenarnya mempunyai potensi yang cukup besar untuk tonjolkan diri dalam aspek pentadbiran dan pembangunan negeri ini.

“Belia mempunyai potensi dan kebolehan tersendiri tetapi sering dipandang rendah. Malah mereka selalu katakan ‘ini orang muda baru setahun jagung, apa yang mereka tahu.’ Mereka tidak tahu bahawa belia-belia ini mempunyai kebolehan dan potensi tersendiri,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan terdapat ramai belia yang berpotensi tetapi jarang diberikan peluang terlibat sama dalam kepimpinan di peringkat daerah dan kampung itu.

“Oleh itu, kita kena akui bahawa zaman sekarang bukan lagi seperti dahulu. Kita tidak perlu lagi menggunakan cara-cara lama.

“Jika kita menafikan atau melengah-lengahkan peranan belia untuk terlibat dalam kepimpinan maka kita tidak dapat menghasilkan belia yang berdaya saing yang mampu memimpin suatu hari nanti,” tambahnya.

Mengenai penganjuran Pertandingan Lombak Colop 7 Likur bertempat di Kampung Hulu Lemanak, Jamali menyeru kepada Belia Kampung Lemanak bersama-sama menjayakan program tersebut.

“Ini merupakan penghargaan kepada golongan itu yang dipertanggungjawab mengendalikan pertandingan itu buat julung-julung kalinya, dimana sebelum ini hanya dikendalikan oleh golongan ‘Orang lama’.

“Saya berharap komuniti belia Kampung Lemanak yang terlibat dalam penganjuran itu mampu membuktikan mereka boleh menganjurkan pertandingan itu tanpa penglibatan orang lama di kampung berkenaan,” ujar Jamali.