1,000 bubur pedas diagih kepada penduduk Zon Tengah Kabong

TEMPATAN

oleh: Adi Safarman

KABONG: Sejumlah 1,000 bungkus bubur pedas telah diagihkan kepada penduduk di kawasan Zon Tengah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong bertempat di Masjid Ar-Rahim Gerigat, dekat sini Khamis lalu.

Program yang dianjurkan oleh Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kabong dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Kabong itu, diadakan secara gotong-royong antara penduduk sekaligus dilihat hungan silaturahim antara penduduk terjalin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata amalan gotong-royong khasnya dalam penyediaan bubur pedas pada bulan Ramadan dapat mengerat hubungan penduduk di sekitar kampung terlibat.

Katanya amalan itu yang dijalankan secara turun temurun setiap kali bulan puasa harus diteruskan supaya berkekalan.

.

.

“Budaya ini (gotong-royong) kita amalkan di kampung sejak zaman dahulu dan harus diwariskan kepada generasi pelapis seperti anak cucu agar ia terus berkekalan,” katanya.

Chee Kadir memberitahu, selain meringankan beban golongan kurang bernasib baik dengan menyediakan hidangan itu secara percuma, ia juga dapat meningkatkan kemeriahan pada bulan Ramadan.

Beliau turut menyeru lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan untuk bersama-sama menganjurkan aktiviti sedemikian.

“Pengagihan bubur pedas itu semalam bukan sahaja untuk penyediaan juadah berbuka puasa kepada penduduk kampung, tetapi juga dapat merapatkan hubungan sesama masyarakat sekaligus dapat mengimarahkan bulan Ramadan Al-Mubarak.

“Gabungan dalam melaksanakan sesebuah program merupakan satu pendekatan terbaik kerana mengukuhkan lagi kerjasama antara pihak-pihak terlibat,” ujarnya.

Dengan adanya program sedemikian maka Chee Kadir berharap agar penduduk berbilang kaum di kawasan DUN Kabong ini dapat menikmati kemeriahan suasana sambutan bulan Ramadan bersama penduduk muslim selepas ini.

Beliau turut memuji komitmen yang tinggi yang telah ditunjukkan oleh para Pergerakan Wanita PBB Cawangan Kabong di sepanjang persediaan menyediakan bubur pedas sangat membanggakan sehingga dapat menghasilkan 1,000 bekas.

“Apa yang lebih saya banggakan, kesemua kerja-kerja persediaan ini seperti menyediakan bahan-bahan, memasak dan membungkus serta mengagihkan semuanya dilakukan oleh golongan wanita di sini,” katanya yang turut dibantu oleh isterinya, Meryani Haji Yasin.

Dalam pada itu, bubur pedas tersebut semalam turut diagihkan kepada penduduk Kampung Alit, Kampung Nyabor, Kampung Sessang, Kampung Gerigat yang diserahkan kepada wakil-wakil Ranting Wanita PBB.

Selain itu, Chee Kadir melalukan simbolik penyerahan bubur pedas kepada 10 warga emas dari Kampung Gerigat.