Belia Kampung Hulu Lemanak anjur Lombak Colop 7 Likur

TEMPATAN

SIMANGGANG: Belia Kampung Hulu Lemanak akan menganjurkan Pertandingan Lombak Colop 7 Likur bertempat di Kampung Hulu Lemanak pada 29 hingga 30 April ini.

Pengerusi pertandingan, Mohd Hazam Hismuddin berkata setelah dua tahun permainan tradisi itu menyepi akibat pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh negara, pada tahun ini pihaknya telah merancang untuk menganjur semula aktiviti berkenaan.

Katanya seperti kebiasaannya pertandingan itu dianjurkan bagi memeriahkan sambutan malam 7 Likur pada setiap tahun dalam bulan Ramadan iaitu sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Mesyuarat semalam telah memutuskan tarikh bagi pertandingan tersebut akan dijalankan pada 29 hingga 30 April ini, iaitu pada malam 7 Likur dan 8 Likur,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat dan penubuhan jawaran kuasa pertandingan itu di Surau Hayatul Islam dekat sini.

Turut hadir ialah Ketua Kampung Hulu Lemanak, Jamali Hamden.

Kata Mohd Hazam, pada penganjuran kali ini, pihaknya hanya akan memfokuskan kepada pelajar sekolah peringkat umur untuk terlibat dalam pertandingan itu.

“Pertandingan ini akan dibahagikan kepada dua kategori iaitu bagi kategori A berumur 12 hingga 14 tahun, manakala kategori B pula berumur 15 hingga 17 tahun.

“Tiada sebarang yuran pendaftaran dikenakan bagi kedua-dua kategori yang dipertandingkan, ianya adalah percuma,” ujarnya.

Mohd Hazam menjelaskan, bagi penyertaan pasukan kedua-dua kategori yang dipertandingkan itu adalah terhad kepada 10 buah pasukan sahaja, dan setiap pasukan hendaklah terdiri daripada empat orang peserta.

Katanya hadiah lumayan bakal menanti kepada pemenang kedua-dua kategori yang dipertandingkan itu dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 28 April 2022, jam 12 tengah hari.

Beliau yang mewakili Belia Kampung Hulu Lemanak berkesempatan mengucapkan terima kasih kepada Ketua Kampung Hulu Lemanak, Jamali Hamden kerana telah memberi peluang dan ruang kepada pihaknya untuk mengendalikan penganjuran itu buat julung-julung kalinya.

“Saya bagi pihak belia di kampung ini akan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan kepada kami untuk menganjurkan pertandingan ini buat pertama kalinya.

“Ia merupakan satu penghargaan kepada komuniti belia Kampung Hulu Lemanak ini, dan kami akan buktikan bahawa kami mampu menganjurkan sesuatu pertandingan tanpa penglibatan golongan dewasa,” tegas Mohd Hazam.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor dijangka menyempurnakan pertandingan itu nanti.

Untuk pertanyaan dan keterangan lanjut mengenai pertandingan itu bolehlah menghubungi urusetia pertandingan ditalia (011-25520485) Syafiq atau Zikry (012-8456328).