Sri Aman tuan rumah Tinju Terbuka Sarawak, Ogos nanti

SUKAN

BUAT julung kalinya, Bahagian Sri Aman akan menjadi tumpuan peminat sukan tempur apabila dipilih menjadi gelanggang Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2022 yang dijadualkan berlangsung pada 31 Julai hingga 7 Ogos di Kompleks Sukan Tertutup, Sri Aman.

Presiden Persatuan Tinju Sarawak (SABA), Dato Rahman Lariwoo berharap semua peninju mengambil peluang dalam kejohanan anjuran Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) dengan kerjasama Persatuan Tinju Negeri Sarawak ini bagi mengetengahkan bakat mereka.

“Diharap petinju muda kita dari semua pusat pembangunan tinju di negeri ini tidak melepaskan peluang ini kerana objektif penganjuran adalah bagi mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Sama ada ke peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa, selain medan utama untuk peninju-peninju yang telah dipilih mewakili Sarawak ke Sukan SUKMA memperbaiki prestasi masing-masing” katanya yang ditemui selepas Mesyuarat Kejohanan Terbuka Sarawak yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Wisma SADA pagi semalam.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini sukan tinju semakin mendapat sambutan di Sarawak khususnya dalam kalangan petinju muda yang menunjukkan kesungguhan dalam latihan di pusat-pusat pembangunan.

“Menurutnya lagi, penyertaan kejohanan kali ini akan membabitkan penyertaan peninju dari seluruh Malaysia, Brunei dan Kalimantan,”

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Tinju Negeri Sarawak, yang juga lagenda Tinju Malaysia Mejar Sapok Biki berkata ini adalah medan terbaik untuk peminat sukan tinju di negeri ini untuk meningkatkan prestasi mereka setelah sekian lama tidak mengikuti kejohanan akibat pandemik COVID-19.

“Ini adalah peluang terbaik untuk menguji petinju tempatan khususnya sebagai pendedahan kepada mereka mengikuti kejohanan sebenar setelah berehat panjang (tidak mengikuti kejohanan),” ujarnya.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Timbalan Residen Bahagian Sri Aman Elvis Didit, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sri Aman Mohd Hamizan Yahya, pegawai-pegawai dari IPD Sri Aman, Pejabat Pembangunan Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sri Aman, jawatankuasa tertinggi serta barisan jurulatih-jurulatih dari Persatuan Tinju Sarawak.