Zon Lubok Antu juara MSS Sri Aman 12TKB

Uncategorized

PASUKAN Zon Lubok Antu muncul sebagai juara pada Pertandingan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah (MSS) Bahagian Sri Aman Bawah 12 tahun Ke bawah (TKB) yang berlangsung di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Melaban petang semalam.

Hari bersejarah buat rangkaian pemain Zon Lubok Antu itu tercipta setelah mengatasi pencabar utama pasukan Zon Undop dengan jaringan 2-0 pada perlawanan akhir yang cukup dramatik itu.

Kedua-dua gol Zon Lubok Antu dijaringkan oleh Joel Loren di separuh masa pertama dan Graham Gayok Zuinidi pada separuh masa kedua.

Barisan pemain pasukan Zon Lubok Antu yang dipimpin ketua jurulatihnya, Masri Mushkatar itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum melengkapkan hari bersejarah mereka dengan kejuaraan penuh bermakna itu.

“Cukup gembira dan berpuas hati dengan kejayaan pasukan kami kerana telah menjuarai kejohanan ini.

“Kejayaan bersejarah ini berkat dedikasi semua pemain serta sokongan padu barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan,” kata Pengurus pasukan Zon Lubok Antu, Louis Eri.

Selaku juara, pasukan Zon Lubok Antu membawa pulang hadiah berupa piala dan medal, sementara pasukan Zon Undop pula turut menerima piala dan medal di tempat kedua.

Bagi perebutan tempat ketiga pula, pasukan Zon Sri Aman berjaya membenam pasukan Zon Lingga dengan jaringan 3-1 dalam perlawanan yang cukup sengit.

Dalam pada itu, Pengerusi Teknik dan Pembangunan Bola Sepak Zon Lubok Antu, John Ali ketika ditanya pemberita mengenai pertandingan itu berkata pemain-pemain yang akan terpilih nanti akan mewakili Bahagian Sri Aman pada Kejohanan Bola Sepak MSS Sarawak 2022 (12 TKB) yang akan berlangsung di bandar Sarikei pada 18 hingga 22 Julai nanti.

Terdahulu, sebanyak enam buah zon daripada bahagian Sri Aman telah menyertai kejohanan yang telah berlangsung selama dua hari yang berlangsung di Padang SK Melaban, Lubok Antu itu.

Kesemua hadiah pemenang telah disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Lubok Antu, Vivien Mujah. Turut hadir ialah Timbalan PPD Sektor Pembangunan murid, Tubau Limbai dan Penyelaras Kejohanan, Krani Dimbap.