Liga Piala SSC/FAS: Sri Aman cari pemain U25

PERSATUAN Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA) akan mengadakan sesi pemilihan terbuka pemain bawah 25 tahun yang akan diadakan di Padang Bola Sepak Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Sri Aman.

Pengurus pasukannya, Awang Putra Yusrie Awang Redzuan berkata pemilihan tersebut akan diadakan selama dua hari bermula 6 hingga 7 Mac (Sabtu dan Ahad) bermula jam 2 hingga 6 petang.

Pemilihan tersebut katanya bertujuan untuk persiapan membentuk pasukan bahagian Sri Aman bagi menghadapi Kejohanan Bola Sepak Liga Piala SSC/FAS Bawah 25 tahun yang akan bermula pada 20 Mac ini.

“Kita akan mengadakan sesi pemilihan pemain pada Sabtu dan Ahad ini bermula jam 2 petang hingga 6 petang bertempat di Padang Bola Sepak SK Agama Sri Aman.

“Sesi pemilihan pemain itu akan dikendalikan oleh barisan jurulatih yang berpengalaman seperti Ramos Sari, Jahar Nor dan Sufian Ibrahim,” katanya kepada Sarawak Press Daily Online hari ini.

Sehubungan itu kata Awang Putra Yusrie beliau menggesa pemain-pemain berbakat agar mencuba nasib pada sesi pemilihan tersebut, pada masa sama menyatakan keutamaan kepada pemain yang lahir pada atau selepas tahun 1996.

Katanya lagi ini adalah peluang keemasan bagi pemain-pemain bawah 25 tahun berpotensi untuk mempamerkan bakat masing-masing untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Diharap kita akan dapat menemui ramai pemain-pemain muda yang berpotensi dan berbakat pada sesi pemilihan itu nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kejohanan Bola Sepak Liga Piala SSC/FAS Bawah 25 tahun akan bermula pada 13 Mac ini dan sepak mula akan berlangsung di Kuching.

Manakala perlawanan lain akan menyusul pada 20 Mac, secara timbal balik (di tempat sendiri dan tempat lawan).

Kejohanan tersebut merupakan kolaborasi pertama Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).

Liga ini dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon Selatan yang terdiri daripada Kuching, Serian, Samarahan dan skuad Piala Presiden Sarawak United II.

Zon Tengah pula ialah Betong, Sarikei, Sibu, Kapit dan Sri Aman, manakala Zon Utara terdiri daripada Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang A.

Juara dan naib juara setiap zon akan layak ke pusingan seterusnya yang membabitkan sebanyak enam buah pasukan. Mereka akan bersaing secara ‘karnival’ di Bintulu.